Estet Perindustrian Sematan siap tahun ini

Spread the love

KUCHING, 18 Mei : Estet Perindustrian Sematan yang bakal memanfaatkan usahawan dan penduduk setempat dijangka siap tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata projek itu kini telah mencapai tahap 89 peratus siap.

“Manakala Anjung Usahawan Sematan dan Anjung Usahawan Telok Melano mengalami kelewatan dengan status pelaksanaan masing-masing 21 peratus dan 28 peratus.

“Ini disebabkan oleh masalah pengurusan kontraktor, kekurangan bahan binaan, perubahan skop kerja dan ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Adenan yang ingin mengetahui status terkini pelaksanaan Estet tersebut.

Tambahnya bagi memastikan projek- projek tersebut siap mengikut jadual, kementeriannya akan sentiasa membuat pemantauan rapi dengan mengadakan mesyuarat pemantauan mingguan bersama kontraktor dan jururunding serta mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut.

Dalam perkembangan lain, Malcolm turut memberitahu kementeriannya juga ada menyediakan bantuan kewangan seperti Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Graduan ke Arah Keusahawaman (GERAK), USahawan Teknikal dan Vokasional (USKEV) dan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) untuk membantu usahawan di Tanjung Datu.

Estet Perindustrian Sematan dijangka siap tahun ini

“Setakat ini 17 PKS di Tanjung Datu, Sematan, Telok Melano telah dibantu dengan nilai bantuan kewangan berjumlah RM426,000 melalui SPIKS, GERAK, USTEV, SKMS, dan program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE),” katanya.

Untuk rekod, selain daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian, agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), SME Corporation, dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) turut menawarkan bantuan-bantuan bagi membantu PKS Sarawak. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.