Sukan SEA: Malaysia gagal raih pingat boling perseorangan lelaki

Spread the love

HANOI, 17 Mei: Pemain boling muda negara gagal mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki pada hari pertama tenpin boling di Heroworld Bowling Center, Vincom Megamall Royal City, semalam.

Sharukh Amin Zulkifli dan Mohd Syazirol Shamsudin yang mewakili negara di Sukan SEA buat kali pertama hanya menduduki tempat ketujuh dan kelapan dengan masing-masing hanya melakukan 1,199 dan 1,187 jatuhan pin.

Matheiu Merwin Tan dari Filipina menang pingat emas, manakala pemain Thailand Yannaphon Larpapharat (1,286) dan Ryan Leonard Lalisang dari Indonesia (1,221) menang perak dan gangsa.

Walaupun bermula dengan baik dan melakukan 244 jatuhan pin pada permainan pertama, Shahrukh Amin gagal mengejar semula lawannya, selepas hanya menjatuhkan 117 jatuhan pin pada permainan keempat.

“Saya perlu melakukan perubahan yang cepat kerana pertukaran lorong yang agak cepat. Saya ambil ini sebagai proses belajar dan fokus untuk melakukan yang terbaik dalam dua lagi acara (beregu dan pasukan) selepas ini,” katanya dengan nada kecewa.

Pada edisi 2015 di Singapura dan 2017 di Kuala Lumpur, Rafiq Ismail memenangi emas perseorangan lelaki, manakala Timmy Tan Chye Chern memenanginya di Sukan SEA Failipina 2019.

Sementara itu pada acara perseorangan wanita, Nerosha Keligit (1,249) dan Gillian Lim Siew Geok (1136), masing-masing hanya menduduki tempat kelima dan keenam.

Juara edisi 2017 Cherie Tan Shi Hua yang melakukan 1,442 jatuhan pin mengalahkan juara dan rakan senegara New Hui Fen (1,319) yang hanya mendapat pingat gangsa, manakala Marie Alexis Sy (1,320) menang perak.

Nerosha berkata beliau berharap untuk memperbaiki prestasinya pada acara selanjutnya selepas belajar bagaimana untuk membuat perubahan dengan lebih cepat pada pertukaran lorong serta untuk lebih bersedia.

Esok akan berlangsung acara beregu lelaki dan wanita. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.