Politik matang landasan harmoni dan kestabilan Sarawak

Spread the love

KUCHING, 17 Mei: Amalan politik yang matang menjadi tunjang utama keharmonian dan kestabilan negeri Sarawak, selain menjadi agenda utama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata meskipun Pilihanraya Negeri ke-12 telah dijalankan dalam tempoh yang sukar akibat penularan COVID-19, namun rakyat Sarawak telah berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“Saya bersyukur kerana tiada insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses pilihanraya diadakan.

“Saya berbangga dengan keupayaan dan kemampuan jentera pilihanraya negeri yang telah berjaya melaksanakan proses pilihanraya dengan teratur dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, di sini hari ini.

Beliau turut berkongsi rasa bangga terhadap rakyat di negeri ini dalam bersatu padu serta tenang menghadapi tekanan wabak COVID-19 yang bukan sahaja mencacat-celakan sistem kesihatan, namun turut menyebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Inilah kekuatan yang kita ada dan hendaklah dipertahankan.

“Saya menyeru rakyat, terutamanya generasi muda terus mengekalkan suasana harmoni dan toleransi,” katanya.

Terdahulu, Tun Taib merasmikan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Sarawak ke-19 yang bermula hari ini sehingga 26 Mei depan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.