Guru sambilan wanita rugi lebih RM31,000

Spread the love

SIBU, 16 Mei : Gara-gara terlalu mudah percaya, seorang wanita kerugian lebih RM31,000 selepas dijerat sindiket penipuan dengan tawaran kerja sambilan melalui sosial media tidak wujud.

Sindiket berkenaan menggunakan modus operandi menawarkan komisen tinggi melalui tugasan yang diberikan namun semuanya tipu helah semata-matanya.

Ketua Polis Faerah Sibu, Asisten Komisioner, Zulkipli Suhaili berkata, pada 12 Mei lalu, pengadu yang berusia dalam lingkungan 20-an yang merupakan seorang guru sambilan telah tertarik dengan tawaran yang menjanjikan komisyen sebanyak 0.6 peratus bagi setiap pembelian melebihi 60 barang.

Tambahnya, pengadu kemudiannya menerima satu pautan bagi memantau pembelian yang dilakukan oleh pelanggan secara dalam talian.

“Pada hari yang sama, pengadu telah diminta untuk membuat bayaran ke dalam akaun bank yang diberikan selepas ada pelanggan membuat pembelian.

“Tanpa curiga, pengadu telah membuat tujuh kali transaksi ke tiga akaun yang diberikan oleh suspek keseluruhannya berjumlah RM31,879,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, pengadu hanya tersedar dirinya ditipu setelah komisen yang dijanjikan belum diterima sehingga laporan polis dibuat.

Zulkipli menasihatkan agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pekerjaan secara dalam talian tanpa membuat sebarang semakan agar tidak menjadi mangsa.

Kes disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda.

Orang ramai boleh membuat semakan dengan balai polis terdekat atau membuat semakan di http://semakmule.rmp.gov.my, ccid infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03-26101559/03-26101599 dan facebook cybercrimealertrmp. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.