UNIMAS anjur tayangan khas ‘Duduk dan Tonton 2’ sempena Festival Filem Mini ke-18

Spread the love

KUCHING, 12 Mei : Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menganjurkan tayangan khas ‘Duduk dan Tonton 2’ sempena Festival Filem Mini ke-18 di Swimburne Kuching pada Sabtu ini.

Menurut satu kenyataan, kesemua filem yang ditayangkan pada hari tersebut akan diakhiri dengan sesi diskusi bersama pembikin filem.

“Empat filem yang akan ditayangkan iaitu Flow Flow Flow, Blue Light, Parking Lot dan juga My Father, Dr G,” tambah kenyataan terbabit.

Empat filem yang akan ditayangkan khas oleh Mini Film Festival pada Sabtu ini.

Filem pertama, “Flow Flow Flow”, yang diarahkan oleh Wong Pei Szi mengisahkan tentang seorang remaja yang cuba untuk menebus kesilapan yang dilakukannya dan memulakan hidup baru. Namun, orang disekelilingnya tidak mempercayai bahawa dia telah berubah, hanya seorang gadis kecil sahaja yang sudi untuk berkawan dengannya. Wong Pei Szi dilahirkan disebuah perkampungan kecil, selepas dua tahun belajar bidang penyiaran, dia telah berpindah ke Taiwan untuk menyambung pelajaran dalam bidang perfileman.

Film seterusnya ialah “Blue Light” yang diarahkan oleh Cheah Kah Sing. Ia menceritakan tentang seorang jurukamera yang mencerminkan dirinya melalui pengarah yang dibencinya. Pembuat filem Malaysia, Cheah Kah Sing merupakan seorang pelajar filem yang belajar di Universiti Shih Hsin, Taiwan, Sementara menunggu peluang untuk menghasilkan filem panjang, dia pernah bekerja sebagai pembantu pengarah, pembantu teknikal, kru bahagian seni dan jawatan lain yang dia dapati dirinya mampu untuk pelbagai filem termasuklah “Ola Bola” yang diarahkan oleh Chiu Keng Guan, “Mrs. K” oleh Ho Yuhang dan “Hell Hole” oleh Sam Loh. Baru-baru ini, beliau baru sahaja menyiapkan filem pendek sulungnya yang bertajuk “Blue Light” dimana dalam filem ini beliau banyak berkongsi pendapatnya tentang industri pembikinan filem berdasarkan pemerhatiannya.

Dua lagi filem lain iaitu “Parking Lot” dan “My Father, Dr G”. “Parking Lot” merupakan sebuah filem pendek yang diarah oleh Hannan Syed dan Firdaus. Filem ini mengisahkan tentang seorang gadis kecil berusia 9 tahun sedang menunggu ibunya. Semasa dia meunggu, dia menyaksikan orang dewasa banyak mengambil kesempatan daripada kelebihan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Hannan Syed juga merupakan penerbit dan pembantu pengarah manakala Firdaus pula adalah seorang pembikin filem bebas.

“My Father, Dr G” merupakan sebuah dokumentari yang diarah oleh Hidayah Hisham. Dokumentari ini mengisahkan tentang seorang anak perempuan yang menceritakan tentang bapanya yang masih dalam perbicaraan dan akan dijatuhkan hukuman mati. Bapanya yang berusia 60 tahun telah ditangkap kerana didakwa memiliki dan menggunakan ganja sebagai ubat untuk merawat penyakit kroniknya. Hidayah Hisham juga merupakan seorang penulis yang menulis tentang perubahan sosial dan juga isu semasa.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 0194269846 (Halimah) untuk mendapatkan perincian yang lebih lanjut. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.