Bawa anak keluar bersosial, berinteraksi dengan dunia luar

Spread the love

KUCHING, 8 Mei : Masalah pergaulan berhubung ‘social anxiety’ atau penyakit malu patologikal dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia semakin meningkat ekoran sekatan daripada bersosial sejak dua tahun lalu untuk mengekang penularan COVID-19.

Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata kerajaan Sarawak menggesa ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka melakukan lawatan sosial dan berinteraksi secara bersemuka.

Menurutnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik dahulu telah mengehadkan kegiatan sosial kanak-kanak sehingga menyebabkan masalah kesihatan mental.

“Satu daripada tujuh kanak-kanak terpaksa duduk di rumah sepanjang masa pada tahun 2020 sehingga menimbulkan keresahan, kemurungan dan pengasingan.

“Kerajaan menggalakkan kanak-kanak untuk keluar berinteraksi dengan orang ramai dan menjalankan aktiviti yang dapat membantu perkembangan sosial,” katanya ketika menghadiri Hari Keluarga dan Lawatan Sambil Belajar Persatuan Wanita India Sarawak (SIWA) di Muzium Budaya Borneo di sini pada Ahad.

Kerajaan Sarawak telah memberikan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada SIWA untuk menjalankan lebih banyak program bagi membantu masyarakat.

Sharifah Hasidah menambah, kanak-kanak harus didorong untuk melakukan aktiviti berfaedah dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, seperti melawat muzium, untuk menimba ilmu selain meningkatkan pengalaman sosial berikutan peralihan ke fasa endemik.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, seramai 424,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 20 peratus kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi masalah kesihatan mental. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.