Berbaki 8 tahun lagi, mampukah plastik sifar 2030?

Spread the love

KUALA LUMPUR, 6 Mei : Setiap kali sambutan perayaan, negara ini merekodkan peningkatan sisa domestik yang ketara, dan pada sambutan Aidilfitri kali ini kebimbangan pengendali sisa pepejal, aktivis dan mereka yang berkenaan memuncak.

Ini kerana kekangan pulang ke kampung dan aktiviti rumah terbuka yang dikuatkuasakan selama dua tahun akibat COVID-19, telah ditarik balik. 

Kebimbangan mereka berasas memandangkan Malaysia kini di tempat kedua tertinggi di Asia dari segi penggunaan plastik dan kelapan teratas dunia yang tidak menguruskan sisa plastik dengan baik – dua rekod yang tidak boleh dipandang remeh – sehingga pernah ditegur oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. 

Baginda menegur akan sikap masyarakat yang kurang kesedaran dan tidak menghiraukan bahaya pencemaran plastik meracuni makanan dan alam sekitar selepas dilaporkan rakyat negara ini menggunakan secara purata 300 beg plastik setahun dan dianggar membuang lebih 30,000 tan plastik ke laut setiap tahun.

Justeru, berbaki hanya lapan tahun sebelum Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 menemui noktah, persoalan yang timbul ialah mampukah negara merealisasikan matlamat tiada lagi penggunaan plastik pada 2030 jika dilihat trend semasa?  

ISU BESAR

Jalannya semakin sukar malah hampir mustahil. Itu respons ringkas pensyarah kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak ketika diajukan pertanyaan tentang hal tersebut.

Menurutnya, ini kerana masyarakat amnya masih lagi tidak mengambil serius akan bahaya plastik yang tidak diuruskan dengan baik, dan ini dapat dilihat pada penghasilan sisa domestik yang berjumlah sekitar 40,000 tan di kota raya ini setakat hari ke-20 Ramadan.

Bernama difahamkan jumlah itu adalah yang tertinggi dikutip syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam Alam Flora Sdn Bhd dalam tempoh empat tahun sejak 2019, dengan beg plastik sekali guna merupakan antara penyumbang utama peningkatan sisa pepejal di Kuala Lumpur pada tahun ini. 

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Mohd Zain Hassan dipetik berkata penjanaan sisa pepejal dijangka berterusan dan meningkat hingga minggu pertama Aidilfitri kerana kebanyakan sektor telah dibenarkan beroperasi. 

Mengulas mengenai isu itu, Mohd Yusoff berkata “sikap ambil mudah masyarakat” tidak boleh dipandang ringan kerana aspek itu dikenal pasti sebagai faktor utama penggunaan beg plastik masih lagi tinggi, khususnya di pasar awam dan kedai runcit, terutama ketika musim perayaan, biarpun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan. 

“Sampah plastik merupakan isu besar di Malaysia. Namun, agak menyedihkan kerana masih ramai ambil remeh mengenainya. Contohnya, ada peniaga lebih cenderung menggunakan plastik tidak mesra alam berbanding yang boleh urai  kerana harganya murah. 

“Pengguna pula, majoritinya cenderung kepada (beg) plastik kerana beg boleh guna semula leceh sebab perlu dibersihkan setiap kali selepas guna, sekali gus menunjukkan mereka lebih mengutamakan keselesaan berbanding kesan kepada alam,” katanya kepada Bernama. 

Selain itu, beliau berpandangan penguatkuasaan undang-undang turut menjadi penghalang kejayaan negara merealisasikan pelan plastik sifar kerana tidak semua negeri mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Akta itu yang dikuatkuasakan pada 1 Sept 2015, mewajibkan pengasingan sisa di peringkat awal dengan setiap isi rumah serta pemilik perniagaan mengasingkan sisa di premis masing-masing, namun hingga kini hanya tujuh negeri menguatkuasakan undang-undang berkenaan.

Baki lima negeri – Kelantan, Terengganu, Selangor, Perak dan Pulau Pinang – masih belum menandatangani Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam di bawah Akta 672 itu. 

KEMPEN 20 SEN

“Kita sebenarnya sudah (mempunyai) cukup dasar.  Undang-undang sedia ada pun dah cukup dan cantik, cuma dari segi penguatkuasaan sahaja jadi isu. Misalnya, akta yang mewajibkan pengasingan sisa sewajarnya diperluas ke seluruh negara, bukan hanya di negeri tertentu sahaja. 

“Selain itu, saya juga melihat kempen bebas plastik yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri dengan mengenakan caj 20 sen tidak berjaya kerana caj yang terlalu rendah menyebabkan orang tidak kisah membelinya,” katanya. 

Walhal kata beliau, nilai 20 sen untuk satu beg plastik itu membawa impak yang amat besar terhadap kelestarian alam kerana plastik yang tidak diurus dengan baik mengambil masa 400 hingga 1,000 tahun untuk terurai secara semula jadi.  

Ini belum diambil kira risiko lain seperti menyekat saliran air menyebabkan banjir kilat, manakala plastik yang “terlepas” ke laut pula mengancam hidupan marin seperti penyu dan lain-lain, tegas beliau.

Keberkesanan kempen itu yang dilaksanakan sejak lebih 10 tahun lalu dengan tujuan memelihara alam sekitar, pernah menjadi polemik sebelum ini kerana penggunaan beg plastik tidak mesra alam masih lagi berleluasa, khususnya di pasar raya dan premis perniagaan.

Sehubungan itu kata Mohd Yusoff, sewajarnya kempen bebas plastik tersebut diberi nafas baharu selain aktiviti promosi dan pencerahan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 kepada masyarakat, diperhebat.

Apatah lagi media sebelum ini melaporkan hanya 44 peratus rakyat negara ini tahu mengenai pelan tersebut sedangkan pelaksanaannya sudah berlangsung sejak 2018.

KESEDARAN RENDAH?

Adakah ini kerana kekurangan kesedaran dalam kalangan masyarakat?

Pengasas bersama Zero Waste Malaysia (ZWM), Khor Sue Yee berkata kesedaran itu sudah bercambah dalam kalangan masyarakat, cuma kebanyakan mereka kurang menerima pendedahan serta cetek pengetahuan tentang kepentingan serta makna di sebalik langkah bebas plastik.

“Kebiasaannya, kami melihat gaya hidup sisa sifar ini ada diamalkan, iaitu individu membawa bekas makanan sendiri ketika tapau (bungkus bawa balik) makanan dan guna beg kitar semula ketika membeli-belah.

“Namun hanya segelintir yang amalkan gaya hidup begini, manakala yang lain belum lagi berbuat demikian walaupun tahu, dan ada pula yang langsung tidak tahu mengenai kempen ini,” katanya semasa pelancaran aplikasi ‘Trashpedia’ anjuran ZWM baru-baru ini. 

Menurutnya, keadaan itu disebabkan beberapa faktor, antaranya kurang motivasi selain ada yang berasakan pengurangan penggunaan plastik dalam kehidupan mereka merenyahkan.

Berdasarkan kaji selidik ZWM membabitkan kira-kira 7,000 responden di sekitar Lembah Klang, Khor berkata 50 peratus daripada mereka masih keliru mengenai barang yang boleh dikitar semula.

Sehubungan itu katanya ZWM sering mengadakan kerjasama dengan persatuan penduduk, syarikat dan institusi pendidikan bagi menerapkan sikap dan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat, terutama pelajar sekolah.

“Kami percaya didikan sejak usia muda merupakan kaedah terbaik bagi membolehkan seseorang itu memahami konsep kitar semula dengan mudah, sekali gus dapat mempraktikkan kehidupan ‘zero waste’ (sisa sifar) setiap hari,” katanya. 

LAMAN WEB INTERAKTIF ‘TRASHPEDIA’

ZWM juga turut mengambil inisiatif memperkenalkan laman web interaktif ‘Trashpedia’ dengan kerjasama Bursa Malaysia yang bertujuan memudahkan masyarakat memahami dengan lebih mendalam tentang kepentingan kitar semula kepada kelestarian alam, selain memberi panduan tentang barangan yang boleh dikitar semula.  

Trashpedia atau  “Trash Encyclopedia”, mengandungi 101 maklumat barangan sampah isi rumah, sama ada boleh dikitar semula atau sebaliknya, pusat kitar semula dan kawasan pelupusan sisa. 

Khor berkata Trashpedia merupakan panduan yang sangat berguna buat mereka yang mahu mengamalkan kehidupan sisa sifar dan mengurangkan sisa isi rumah setiap hari dengan melakukan aktiviti kitar semula. 

Buat masa ini laman web itu hanya disediakan dalam bahasa Inggeris dan dalam proses peluasan kepada bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin yang dijangka tersedia pada Oktober depan. 

“Secara purata sisa pepejal yang dijana rakyat Malaysia ialah 1.64 kilogram (kg) setiap hari berbanding purata dunia sebanyak 1.2 kg termasuk sisa makanan dan barangan kitar semula seperti plastik, kaca, sisa elektronik dan kadbod. 

“Pembuangan barangan kitar semula secara sewenang-wenangnya telah menyumbang kadar kitar semula yang rendah di Malaysia iaitu sebanyak 32 peratus dan menerusi platform ini (Trashpedia), kami mahu mendidik masyarakat bahawa melaksanakan ‘zero waste’ sebenarnya sangatlah mudah,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran berkata masyarakat yang keliru mengenai pengasingan sisa isi rumah dan aktiviti kitar semula boleh merujuk kepada pejabat wakil rakyat atau PBT masing-masing. 

“Saya percaya setiap PBT, termasuk pusat khidmat masyarakat saya ada menubuhkan satu jawatankuasa khas aktiviti kitar semula dan alam sekitar yang mana kami sedia membantu jika mereka memerlukan sebarang bantuan dan maklumat mengenai program berkenaan,” katanya. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.