Kru pekerja asing tiada permit, APMM tahan bot nelayan

Spread the love

BINTULU, 5 Mei : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan pada jarak lebih kurang 2.5 batu nautika dari Tanjung Kidurong sekitar jam 3.00 petang Selasa lalu kerana didapati menggaji pekerja asing tanpa permit.
 
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata berdasarkan pemerikaaan, pemilik bot didapati menggaji pekerja warga asing tanpa permit yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia.
 
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati tiga kru, termasuk tekong, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah tetapi gagal mengemukakan permit kebenaran untuk bekerja di atas bot berkenaan.
 
“Semasa pemeriksaan dan geledah dilakukan, tiada sebarang muatan dijumpai pada vesel berkenaan dan mereka dipercayai baharu sahaja keluar ke laut untuk melakukan aktiviti penangkapan ikan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Menurutnya. kesemua kru, termasuk tekong warga Indonesia berusia dalam lingkungan 23 hingga 47 tahun, serta bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
 
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan melanggar syarat di dalam buku lesen yang telah ditetapkan.
 
Sehubungan itu, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan semua komuniti maritim agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di perairan Sarawak dan Malaysia.

Pihaknya juga mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim selain melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian kecemasan di laut melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.