Kerajaan komited kepada pembangunan belia dan bakat tempatan – Snowdan

Spread the love

KUCHING, 5 Mei: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merancang untuk terus membantu mengembangkan bakat anak-anak Sarawak dalam bidang seni, muzik dan industri kreatif.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Industri Kreatif dan Seni Persembahan), Datuk Snowdan Lawan, usaha itu melibatkan persediaan dan penganjuran program serta kursus berkaitan untuk meningkatkan lagi tahap kemahiran mereka hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Kementerian juga akan menyediakan dana supaya mereka yang terlibat di dalam bidang ini terus berkembang.

“Kreativiti ini sangat penting, dan kita menyediakan platform untuk mereka menghasilkan karya yang boleh dipersembahkan, bukan sahaja pada peringkat negeri tetapi juga pada peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya kepada TVS ketika ditemu bual di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur baru-baru ini.

Menurutnya, anak-anak muda di Sarawak mempunyai idea dan kreativiti tersendiri yang berpotensi untuk diperkembangkan ke peringkat lebih tinggi selari dengan inisiatif kerajaan negeri yang ingin mempertingkatkan penyertaan belia dalam pembangunan Sarawak.

“Selain itu, kita boleh membawa pakar atau jurulatih dari luar, sama ada dari Semenanjung mahupun luar negara, untuk memberi taklimat dan menganjurkan bengkel yang boleh disertai anak-anak muda.

“Melalui kursus dan bengkel ini, mereka boleh didedahkan kepada pelbagai pengetahuan baharu, dan kemahiran bakat-bakat tempatan yang kita ada dapat diasah lagi,” ujarnya lagi.

Snowdan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, menambah, setiap daerah dan bahagian di negeri ini ada anak-anak tempatan yang mempunyai bakat terpendam di dalam bidang seni dan kreatif, dan mereka perlu diketengahkan.

“Ini penting kerana, selain memberi fokus kepada pembangunan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan teknikal dan vokasional serta pembangunan industri kreatif dan seni persembahan turut menjadi agenda yang dititikberatkan oleh kementerian,” katanya.

Untuk makluman, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM5 juta untuk mencungkil dan memupuk bakat dan kepimpinan belia menerusi ‘Sarawak Youth Creative Industry Fund’ (SYCIF). – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.