RUU Anti Lompat Parti, PM akan umum tarikh baharu

Spread the love

KUCHING, 4 Mei: Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan pada persidangan khas Dewan Rakyat, dengan tarikhnya yang akan diputuskan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata terdapat beberapa cadangan tarikh bagi pembentangan tersebut sebelum ini namun ia perlu diputuskan oleh Perdana Menteri terlebih dahulu.

“Jadi saya cukup yakin kita boleh menyelesaikan apa masalah dahulunya. Hanya yang tinggal ialah apabila siap kajian itu nanti, terpulang kepada Perdana Menteri. Yang mungkin perlu kepada keputusan kabinet, bila rang undang-undang itu boleh dibentangkan di Dewan Rakyat, kerana ada juga mencadangkan tunggu bulan Julai.

“Tetapi ada mengatakan supaya mengikut janji yang telah dibuat. Perdana Menteri perlu membuat keputusan mengenai satu tarikh tertentu untuk mengadakan satu sidang khas di bawah Peraturan 11(3), Peraturan Dewan Rakyat, diadakan majlis khas, dan kita boleh adakan persidangan. Itu biarlah, serahkan kepada Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui media pada Program Libat Urus Menteri Bersama Masyarakat di sini hari ini.

Beliau menambah, undang-undang tersebut perlu disiapkan segera untuk mengelak perkara yang berlaku pada tahun 2018 daripada berulang kembali, apabila ramai Ahli Parlimen melompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 diadakan.

Sementara itu, menyentuh tentang perjumpaan yang akan diadakan dengan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, pada 9 Mei ini, Wan Junaidi berkata pertemuan itu akan meneliti secara khusus klausa dalam undang-undang yang tidak boleh dicabar.

Perbincangan tersebut diadakan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 April lepas bahawa klausa dalam undang-undang tersebut boleh dipertikaikan.

“Jadi banyak. Saya telah buat kajian semenjak 25 hari bulan tu. Saya telah buat kajian (ke atas) hampir 60 klausa, 60 undang-undang Malaysia, yang mempunyai ‘ouster clause’ berkemungkinan boleh dicabar. Maknanya kuasa itu tidak mutlak kepada pihak kerajaan. Contohnya, kalau satu undang-undang menyatakan keputusan yang dibuat oleh satu jawatankuasa tidak boleh dicabar di mahkamah. Ini boleh dicabar di mahkamah sekarang di bawah keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 hari bulan,” ujar Wan Junaidi.

Bagaimanapun, tambahnya, klausa undang-undang yang dimaksudkan tiada hubung kait dengan Perjanjian Malaysia 1963. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.