Tiga pembantu penguat kuasa JPJ terima rasuah didenda RM5,000

Spread the love

Foto: BERNAMA

IPOH, 28 April : Tiga pembantu penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didenda RM5,000 seorang di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM20,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap kenderaan tanpa surat kebenaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad turut memerintahkan tertuduh Mohamad Fadzli Robaini, 32, Mohd Khairumin Sahdan, 35, dan Sazali Rani, 53, dihukum penjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mohamad Fadzli, Mohd. Khairumin dan Sazali membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga pembantu penguat kuasa Unit Peronda Lebuhraya Jelapang Perak itu, bersama-sama menerima wang tunai sebanyak RM20,000 daripada Lee Kok Wong, 29, agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Cheong Chee Wei, 41, atas kesalahan membawa barang muatan arak tanpa surat kebenaran semasa PKP.

Kesalahan itu dilakukan di tepi Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di dalam daerah Kinta di sini, antara 10 pagi hingga 1.10 tengah hari pada 6 Jun 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala ketiga-tiga mereka diwakili peguam Muhaimin Aris.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.