Taman perabot dijangka gandakan hasil eksport kayu Sarawak – Willie

Spread the love

Foto: BERNAMA

KUCHING, 27 April : Taman perabot di Kuching dan Tanjung Manis, yang akan diwujudkan tidak lama lagi, dijangka dapat membantu Sarawak menggandakan hasil eksport kayunya daripada hampir RM4 bilion sekarang kepada RM8 bilion menjelang 2030.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin berkata taman-taman tersebut merupakan sebahagian daripada dasar Kerajaan Negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang memberi tumpuan khusus kepada pengeluaran lebih banyak produk berasaskan kayu.

“Selain daripada perabot, produk nilai tambah lain yang dikenal pasti menyumbang kepada sasaran eksport ini adalah produk kayu aneka bentuk, berasaskan papan lapis dan produk berasaskan buluh.

“Taman-taman itu akan memudahkan penyepaduan secara mendatar dan menegak yang cekap dengan bahan mentah bersumberkan secara mampan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Willie berkata industri perkayuan telah dan akan terus menjadi sektor ekonomi yang penting bagi Sarawak dari segi peluang pekerjaan, penciptaan perniagaan, dan pendapatan eksport.

Pada 22 April lepas, Timbalan Perdana Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dilaporkan berkata Sarawak bercadang untuk mewujudkan taman perabot di Kuching dan Tanjung Manis sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan operasi kayu hiliran melalui produk berasaskan kayu yang ditambah nilai.

Taman-taman itu akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan ia dijangka akan menarik pelaburan sebanyak RM500 juta.

Sarawak merekodkan eksport produk kayu bernilai RM3.9 bilion pada 2021. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.