Aidilfitri : Polis Meradong tingkatkan rondaan

Spread the love

KUCHING, 27 April : Polis Meradong akan meningkatkan kawalan keselamatan termasuk melakukan operasi rondaan di sekitar Bintangor sebagai langkah pencegahan jenayah menjelang sambutan Hari Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Sekam Anoi berkata, operasi itu merupakan antara usaha pihaknya untuk mengurangkan kes jenayah yang sering berlaku setiap kali musim perayaan.

Pada masa sama katanya, langkah itu juga bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan aspek keselamatan kediaman dan harta benda ketika meninggalkan rumah semasa musim perayaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memaklumkan kepada pihak polis jika mereka meninggalkan rumah.

“Ini membolehkan rondaan dan pemantauan dibuat oleh polis,” katanya.

Beliau memberitahu, selain kawasan perumahan di bandar dan pekan, statistik sebelum ini menunjukkan rumah kedai dan kampung turut menjadi sasaran penjenayah.

“Antara modus operandi mereka ialah mengumpil kunci pintu atau tingkap belakang rumah dan merosakkannya sebelum memasuki kediaman dan mengambil harta benda mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai yang melalui Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) agar sentiasa mematuhi had laju dan peraturan jalan raya supaya selamat sampai ke destinasi masing-masing.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.