Kru bot hilang tidak ditemui, Op Carilamat di Pulau Burung ditamatkan

Spread the love

KUCHING, 25 April : Operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa yang dipercayai jatuh dalam laut di perairan Pulau Burung, Sebuyau pada 18 April lepas telah ditamatkan pada pukul 2.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim, Zin Azman Md Yunus berkata penamatan Op Carilamat tersebut diputuskan setelah pasukan penyelamat bersetuju berikutan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui sepanjang tujuh hari operasi dijalankan.

Antara yang hadir taklimat tersebut adalah lima orang ahli keluarga mangsa di Jeti Awam Sebuyau petang semalam.

Bagaimanapun, pihak maritim telah mencari seluas 1020.82 batu nautika persegi yang mana merangkumi Pulau Burung, Sebuyau, Maludam dan Kabong melibatkan 120 orang pegawai dan anggota seperti Polis Diraja Malaysia, Pusat Gerakan Udara PDRM, Pasukan Polis Marin, Bomba, Pertahanan Awam, Rela, Sarawak Coast Guard termasuk orang awam.

” Selain itu, aset yang digunakan sepanjang tujuh hari SARS adalah pesawat udara AS355N, bot Kilat 22, bot PA17 dan empat buah aset Sarawak Coast Guard.

” Pihak Maritim juga menggesa orang ramai agar sentiasa memastikan bot dalam keadaan baik dan tidak pergi ke laut sekiranya cuaca buruk bagi memastikan keselamatan sentiasa diutamakan.” katanya.

Sehubungan itu, orang awam dialu-alukan untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544/432016.

Pada 20 April lepas, satu laporan dibuat mengenai kehilangan seorang kru bot dikenali sebagai Francis Awi, 39, yang dilaporkan terjatuh di kawasan itu.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.