Kita dalam perahu sama, jangan biar karam – Abang Johari

Spread the love

SIBU, 24 April:  Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menitipkan pesanan penting kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) demi kebaikan masyarakat Dayak.

Ujar Abang Johari, keserasian di kalangan pimpinan dan ahli akar umbi yang dipamerkan PRS sebelum ini perlu diteruskan malahan parti itu mempunyai tanggungjawab besar bersama parti – parti lain dalam GPS bagi memacu Sarawak ke arah negeri maju menjelang 2030.

Kata beliau kepada ahli-ahli PRS, mereka semua berada dalam pelayaran yang sama menggunakan perahu GPS.

“Kita berkayuh bersama menuju ke arah 2030 , pasti perahu kita bergerak laju ke depan namun kalau tidak sama, pendayung berlanggar sesama sendiri serta membawa haluan masing-masing, perahu kita akan karam,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Tritahun PRS Kelima di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Pemangku Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP),Datuk Seri Tiong King Sing.

Sementara itu, Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak mengutamakan dasar inklusiviti dalam membangunkan negeri ini untuk mencapai kejayaan.

“Orang tua, muda , berpengalaman dan bijak pandai pun kita bawa dalam satu pasukan.

“Bagi pemimpin veteran pula, mereka tahu apabila sampai masa yang sesuai untuk bersara dan seterusnya memberi peluang kepada golongan muda untuk meneruskan perjuangan parti,” katanya lagi.

Kata Abang Johari, untuk membimbing orang muda menjadi pemimpin, ia bukan tugas mudah dan memerlukan mereka yang berpengalaman.

” Sebagai contoh, bekas Presiden PRS , mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing telah membawa banyak kejayaan kepada parti dan pembangunan kepada Sarawak sepanjang berkhidmat,”katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari mahu semangat mendiang terus tersemat dan menyatupadukan ahli PRS, masyarakat Dayak dan bekerjasama dengan masyarakat lain dalam meneruskan pembangunan negeri ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.