Pembayaran zakat fitrah kini lebih mudah dengan portal Baitulmal Kamek

Spread the love

KUCHING, 22 April : Masyarakat Islam di Sarawak kini lebih mudah menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah melalui pelbagai saluran dalam talian yang disediakan oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan perkhidmatan e-bayaran lain.

Menurut hantaran TBS di Facebook, bagi memudahkan orang ramai membayar zakat fitrah yang kekal pada kadar RM7 seorang tahun ini, pembayaran kini boleh dibuat menerusi portal Baitulmal Kamek di alamat https://pelanggan.tbs.org.my.

Selain itu, perkhidmatan dan aplikasi e-bayaran juga disediakan seperti Tabung Baitulmal Sarawak, Tulus, SnapNPay, MyEG, Maybank2u, DuitNow dan Sarawak Pay.

Bagi yang masih mahu membuat pembayaran menerusi amil, TBS juga telah melantik amil yang bertauliah di seluruh negeri bagi mengutip zakat fitrah sejak 1 Ramadan.

Sementara itu, TBS juga telah melancarkan aplikasi Jejak Asnaf 3.0 untuk memudahkan masyarakat menyalurkan maklumat mengenai golongan asnaf yang layak menerima bantuan dan melaporkan kepada TBS.

Melalui aplikasi itu, orang ramai hanya perlu menghantar gambar golongan asnaf yang terlibat dan mengisi beberapa maklumat sebelum klik butang hantar. 

Sebaik sahaja menerima maklumat itu, TBS akan turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga terbabit.

Aplikasi Jejak Asnaf Versi 3.0 kini boleh dimuat turun menerusi AppStore atau Google Play Store. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.