PGA rampas mercun, beras bernilai lebih RM40,000

Spread the love

KOTA BHARU, 17 April : Anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas pelbagai jenis mercun dan beras berjumlah RM44,879 dalam serbuan di Tumpat pada pagi semalam dan Tanah Merah, malam tadi.   

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata dalam serbuan di Tumpat, pihaknya telah mengesan beberapa individu dalam keadaan mencurigakan sedang memunggah beberapa kotak dari perahu ke tebing sungai di sekitar Kuala Jambu pada 5.45 pagi.

“Menyedari kehadiran polis, kesemua individu berkenaan melarikan diri menggunakan perahu ke Thailand.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak yang ditinggalkan menemukan 1,462 kotak dan 100 peket pelbagai jenis mercun dianggar bernilai RM29,135 dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Antara mercun yang berjaya dirampas oleh Anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7).

Dalam serbuan di Tanah Merah pula, Azhari berkata bertindak atas maklumat penyeludupan beras, pihaknya memeriksa sebuah rumah dipercayai dijadikan stor penyimpanan beras seludup di Kampung Lalang Pepuyu pada 11.15 malam.

“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 2,461 kilogram (kg) beras, 450kg beras pulut dan 75kg beras nasi dagang yang disembunyikan di dalam rumah berkenaan dipercayai diseludup masuk dari Thailand,” katanya.

Beliau berkata kesemua barangan rampasan yang dianggar bernilai RM15,744 dibawa ke Balai Polis Lubok Setol untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.-TVS

Tags: #bm, beras, mercun, PGA

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.