Piala Thomas 2022, misi tumbangkan ‘Samurai’ – Zii Jia

Spread the love

KUALA LUMPUR, 15 April : Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berharap Malaysia dapat menumpaskan Jepun dalam aksi Kumpulan D pada Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, dari 8-15 Mei ini.

Zii Jia berkata juara 2014 itu diramal menguasai peringkat kumpulan dalam kejohanan berpasukan badminton berprestij dunia itu yang bakal berlangsung di Impact Arena.

Beliau berkata impian Malaysia untuk menjadi juara kumpulan terletak pada kemampuan negara menundukkan pasukan negara matahari terbit itu. 

“Pastinya sasaran utama tewaskan Jepun dan mereka bukan pasukan ‘cincai’. Kita juga tidak harus pandang rendah pasukan lain dalam peringkat kumpulan,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, hari ini.

Selain Jepun, skuad kebangsaan diundi bersama England dan New Zealand.

Dalam pada itu, bekas juara All England 2021 itu percaya penampilan pertamanya pada Kejuaraan Badminton Asia di Manila, Filipina dari 26 April-1 Mei ini, dapat dijadikan medan persediaan untuk mendapatkan rentak permainan sebelum mengharungi saingan Piala Thomas.

Pemain nombor tujuh dunia itu yang memilih haluan profesional sejak Januari lepas, teruja dapat kembali ‘berguru’ di ABM dan mengikuti kem latihan selama sembilan hari sehingga 23 April ini.

Beliau juga berpeluang memberi tunjuk ajar kepada atlet ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada 12-23 Mei ini yang berlatih bersama mereka.

“Saya teruja dapat kembali ke sini dan berjumpa kawan-kawan saya serta (atlet) junior.. Saya tidak sabar untuk berlatih bersama mereka bagi beberapa hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky memaklumkan pihaknya telah mengatur strategi termasuk merencana program latihan bagi para pemain yang tersingkir awal di Filipina.

Katanya, ini bagi memastikan mereka tetap bersedia menghadapi saingan Piala Thomas di Bangkok nanti. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.