Kontraktor Pan Borneo didenda RM80,000 rosakkan kabel TM

Spread the love

BINTULU, 13 April : Sebuah syarikat pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas syarikat itu mengaku bersalah atas empat pertuduhan merosakkan kabel gentian optik bawah tanah milik Telekom Malaysia Berhad (TM).

Hakim Syarifuddin Abdul Rasa mengenakan denda sebanyak RM20,000 bagi setiap kesalahan yang dilakukan syarikat itu di empat lokasi, tarikh dan masa berbeza pada 2017.

Bagi pertuduhan pertama Pekerjaan Piasau Konkerit mengaku bersalah merosakkan kabel gentian optik bawah tanah 48 teras di lokasi 14.4km dari Stesen TM Batu 34 menuju Stesen TM TT844 dalam daerah Bintulu pada lebih kurang 2 petang, 24 Jun 2017.

Syarikat itu juga mengaku bersalah merosakkan kabel TM di lokasi tujuh kilometer dari Stesen TM TT844 menuju Stesen TM Batu 34 pada lebih kurang 5.25 petang, 29 Jun 2017, merosakkan kabel TM lokasi 42.6km dari Stesen TM Batu 34 menuju Stesen TM TT844 pada lebih kurang 9 pagi, 3 Julai 2017 dan merosakan kabel TM di lokasi 8.05km dari Stesen TM TT844 menuju ke Stesen TM Batu 34 pada 8 malam, 25 Nov 2017.

Syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat berkenaan diwakili peguam Gurvir Singh manakala pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Mai Zairani Zainal Abidin dan Cik Nur Nazhzilah Mohammad Hashim.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.