40 Pusat Sehenti Komuniti, tangani isu dadah lebih efisien di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 12 April : Sarawak telah menubuhkan sebanyak 40 buah Pusat Sehenti Komuniti (OSC) bagi menangani isu dadah dan bahan terlarang (MIDS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN) Sarawak, ACP Jasmirol Jamaluddin berkata inisiatif berterusan ini yang dilaksanakan bersama kerajaan Sarawak telah berjaya merekodkan hampir RM20 juta rampasan dadah pada tahun 2021.

“ Meskipun dalam keadaan pandemik COVID-19, pada tahun 2021 kita berjaya merekodkan RM19 juta rampasan dadah berbanding dengan keadaan sebelum pandemik.

“ Jadi dengan adanya pusat OSC-MIDS yang ditubuhkan setakat ini, saya harap masalah dadah dan bahan terlarang dapat ditangani dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keberkesanan pusat OSC di bawah kendalian ACP Jasmirol, Fatimah memaklumkan sebanyak RM33,023,017.33 nilai rampasan berjaya direkodkan di Sarawak sejak Jun 2020.

“ Dalam tempoh tidak sampai dua tahun, ACP Jasmirol telah mengemudi JSJN Sarawak dan Jawatankuasa Teknikal OSC-MIDS di bawah beliau dengan pencapaian yang cukup cemerlang.

“ Hasil operasi yang kerap, bersepadu dan berkesan, 14,574 tangkapan melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah dan substance direkodkan sejak Jun 2020,

” Rampasan berkenaan telah menyelamatkan seramai 387,011 orang yang berpotensi menagih atau salah guna dadah, atau 3,096,093 kali penggunaan bagi setiap bulan terhadap pelbagai jenis dadah seperti syabu, ketamin, ganja, serbuk ectasy, eramin dan sebagainya.” katanya.

Bukan itu sahaja, jelas Fatimah lagi, penyitaan harta pengedar dan tangkapan dibawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) turut mencatatkan peningkatan.

“ Sejak Jun 2020, harta bernilai RM10,244,472.8 telah disita; dan 59 tangkapan dibawah LLPK telah direkodkan,” tambahnya.

Untuk rekod, Sarawak berada di ranking tiga tempat teratas di Malaysia dalam aktiviti dan operasi tangkapan dan rampasan dadah dan bahan terlarang.

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.