Keputusan bubar Parlimen hendaklah dirunding dengan PN – Muhyiddin

Spread the love

KUALA LUMPUR, 10 April : Sebarang keputusan untuk membubarkan Parlimen hendaklah dirunding dengan Perikatan Nasional (PN), kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam catatannya di Facebook, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata ini kerana PN merupakan sebahagian daripada parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan sekarang.

Beliau berkata perkara itu dinyatakannya semasa pertemuan pimpinan PN bersama Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Sri Perdana, Putrajaya semalam.

“Kami membincangkan hal ehwal semasa yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara. 

“Dalam pertemuan ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menekankan hubungan kerjasama dengan PN dalam Kerajaan Persekutuan dan memberikan komitmen untuk berunding dengan PN dalam menentukan dasar-dasar utama negara,” demikian menurut catatan Facebooknya.

Turut hadir pada pertemuan itu Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.