“Kami tidak boleh berdiam,” Nancy minta KPDNHEP sedia garis panduan pelitup muka

Spread the love

SEPANG, 10 April :  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyediakan satu garis panduan bagi memastikan pelitup muka kain bercorak yang dihasilkan pengusaha kraf memenuhi spesifikasi SIRIM.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata inisiatif MOTAC apabila pandemik COVID-19 melanda negara pada 2020 yang mewajibkan individu memakai pelitup muka adalah menggalakkan pengusaha kraf melibatkan ibu tunggal dan golongan B40 menjahit pelitup muka kain yang mematuhi piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kami akan mendapatkan pengesahan lanjut daripada KPDNHEP untuk membantu kami memberi  panduan kepada pengusaha kraf. Kami tidak boleh duduk diam kerana pengusaha kraf adalah komuniti kita dan perlu dibantu.

“Kalau perakuan SIRIM masih diperlukan, kami minta KPDNHEP memberi panduan supaya dapat membantu pengusaha kraf yang menghasilkan pelitup muka kain bercorak batik,” katanya selepas merasmikan KUL Art Airport di sini semalam.

Pada 5 April lepas, KPDNHEP dalam kenyataan memaklumkan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 diwartakan, dengan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Perintah yang sepatutnya berkuat kuasa pada 4 Julai ini, bagaimanapun telah ditunda oleh KPDNHEP kepada 1 Jan 2023 bagi memberi ruang kepada industri dan pengguna membuat penyesuaian.

Dalam pada itu, Nancy berkata KUL Art Airport adalah inisiatif Balai Seni Negara dengan kerjasama Malaysia Airports yang disokong MOTAC menerusi peruntukan hampir RM600,000 dalam mempromosikan keunikan karya seni tempatan, selain sebagai tarikan di pintu masuk negara.

Menurutnya karya tersebut dipertontonkan di empat lokasi lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Dalam pelancongan, jika tiada daya tarikan maka tiada orang akan datang. Seni dan budaya terlibat secara inklusif dalam unsur pelancongan. Adat budaya itu akan menarik minat orang dan dijadikan cerita untuk dikongsi bersama.

“Ia diterjemah dalam seni dan dipamerkan untuk dijadikan bahan produk pelancongan Malaysia yang akan dicerita serta dikongsi melalui media sosial untuk menarik minat orang,” katanya. 

Beliau berkata inisiatif itu juga seiring dengan Strategi ke-2 Pelan Strategik 2021-2025 MOTAC yang menekankan kepada transformasi secara digital dalam mengadaptasi pengamalan norma baharu dan selaras dengan Strategi ke-8 untuk melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran, kreatif serta inovatif dalam sektor pelancongan, seni dan budaya.

KUL Art Airport menonjolkan empat karya iaitu di KLIA karya bertajuk ‘Polyhedron’ dihasilkan Allahyarham Noah Iskandar Fuad dengan kolaborasi UCSI University dan ZLG Design manakala di PIA membabitkan pengkarya Sumay Cheah dan Ho Lay Hoon dari OtherHalf dengan karya bertajuk ‘Oh!Budaya’.

Di KIA pula, hasil karya oleh kolektif seni Aftermath Thinker Art Collective bertajuk ‘Reciting Hope’ dan di KKIA lukisan mural ‘The Nature Mind of Landscape’ oleh Kenji Chai yang dipamerkan di pintu masuk balai pelepasan.

Sementara itu, ditanya jumlah pengembara sejak pintu sempadan dibuka pada 1 April lepas, Nancy berkata seramai 252,730 pengembara telah direkodkan hingga 4 April dan data terkini masih dikemas kini oleh Jabatan Imigresen.

Mengenai insiden empat penyelam warga asing hilang di Mersing, Johor pula, beliau berkata ia harus dijadikan pengajaran kepada pengusaha yang terlibat dengan aktiviti pelancongan untuk memperbaiki kelemahan serta bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan setiap pelancong.-TVS

Tags: #bm, kpdnhep, MOTAC

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.