US$75.6 juta jumlah dagangan dua hala Malaysia, Uzbekistan pada 2021

Spread the love

KUALA LUMPUR, 9 April : Pemain industri Uzbekistan dan Malaysia sedang membangunkan beberapa projek membabitkan sektor pertanian, industri makanan, farmaseutikal dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kata Duta Uzbekistan ke Malaysia Ravshan Usmanov.

Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah syarikat yang menjalin kerjasama dengan pelabur Malaysia meningkat dua kali ganda.

Sebanyak 31 syarikat Malaysia telah beroperasi di negara Asia Tengah itu melalui usaha sama dengan rakan kongsi Uzbekistan.

Baca > > > Malaysia dan Sarawak dalam ‘radar’ Uzbekistan untuk kerjasama perdagangan dan pertanian

“Ia menjadi penanda aras bahawa syarikat Malaysia semakin berminat menjalin kerjasama saling menguntungkan dengan kami,” katanya kepada Bernama sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik Kuala Lumpur dan Tashkent.

Usmanov berkata demi mengukuhkan lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara, Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Pelaburan turut ditubuhkan.

Sementara itu, sektor perdagangan dua hala menyaksikan pertumbuhan dinamik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2021, jumlah dagangan dua hala mencecah US$75.6 juta, dengan eksport Uzbekistan ke Malaysia bernilai US$17.6 juta (pertumbuhan sebanyak 146 peratus direkodkan berbanding 2020).

Sehingga kini, pelbagai syarikat dari 40 negara telah menjalin perniagaan di Uzbekistan manakala bilangan perusahaan bekerjasama dengan pelabur asing meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lepas.

“Kerajaan kita sedang berusaha mewujudkan persekitaran paling baik untuk syarikat tempatan dan luar negara dengan memberi pengecualian cukai, melindungi hak dan kepentingan industri, membangunkan infrastruktur dan memperkenalkan teknologi mesra alam,” kata Usmanov.

Beliau berkata pengalaman maju Malaysia termasuk pembangunan industri halal yang akan membantu turut diperkenalkan di Uzbekistan bagi merancakkan lagi kerjasama dagangan dengan negara lain.

Selain itu, kewujudan Zon Perdagangan Bebas Digital akan membantu pertumbuhan perolehan dagangan dengan negara asing menerusi penghapusan birokrasi di semua peringkat pengoperasian perdagangan.

Beliau berkata pengalaman Malaysia turut dicontohi dalam bidang ekonomi untuk meningkatkan kecekapan produktiviti setiap sektor perindustrian di Uzbekistan.

Baca > > > Uzbekistan cadang hubungkan Kuching dengan Nukus sebagai ‘bandar kembar’

Malaysia merupakan negara Asia Tenggara pertama mengiktiraf Uzbekistan sebagai negara merdeka, pada 1 Jan 1992.

Pada 1993, Malaysia menubuhkan kedutaannya di Tashkent, Uzbekistan, manakala kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur dibuka pada 1999. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.