Lelaki bogel pakai pelitup muka dicari polis, disyaki mencuri pada waktu sahur

Spread the love

Kredit gambar: Media sosial

SHAH ALAM, 9 April : Polis sedang menjejaki seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang disyaki melakukan jenayah pecah rumah dalam keadaan berbogel susulan memasuki sebuah rumah di Seksyen 20, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan berkata mereka yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Shafarulrazi menerusi talian 010-8889910 atau 03-55202222.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mohd Iqbal berkata lelaki berkenaan disyaki memasuki dan mencuri wang tunai di dalam rumah sepasang suami isteri yang bekerja di sebuah bengkel membaiki motosikal pada pukul 3.30 pagi.

Katanya, ketika kejadian mangsa seorang wanita berusia 49 tahun dan anak perempuannya, 18 tahun sedang tidur di ruang tamu dan tersedar apabila terdapat cahaya silau mengenai matanya sebelum menyedari kehadiran suspek.

“Terkejut dengan perkara tersebut membuatkan mangsa menjerit sebelum suspek berlari keluar dari rumah mereka. Suspek yang berbogel itu dikatakan memakai pelitup muka ketika melakukan jenayah tersebut.

“Susulan jeritan si isteri, suaminya berusia 51 tahun juga tersedar dan keluar dari bilik tidur menuju ke arah mangsa. Namun, suspek didapati sudah tiada dan mereka mengalami kerugian wang tunai berjumlah RM1,600 hasil perniagaan,” katanya.  

Beliau berkata demikian mengulas berhubung sebuah video tular memaparkan seorang lelaki yang tidak dapat dikenal pasti bangsanya, memakai pelitup muka dan berbogel dilihat berkeliaran di perumahan Seksyen 19 sebelum melakukan jenayah pecah rumah di perumahan Seksyen 20. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.