UNHRC : Keahlian Rusia digantung

Spread the love

WASHINGTON, 8 April : Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis menggantung keahlian Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia (UNHRC) selepas bukti menunjukkan kekejaman dilakukan tentera Moscow.

Undian menyaksikan 93 menyokong dan 24 membantah, manakala 58 negara anggota berkecuali.

Ahli boleh disingkirkan daripada menganggotai UNHRC jika undian dua pertiga ahli majlis diperoleh serta jika sesebuah negara didapati terlibat dalam penderaan kasar dan sistemik.

Terdahulu, wakil tetap Ukraine ke PBB merayu supaya Rusia disingkirkan dan menyifatkan langkah yang jarang berlaku itu adalah wajar memandangkan perbuatan Rusia di Ukraine “melampaui batas.”

“Rusia bukan sahaja melakukan pencabulan hak asasi manusia, malah menggugat asas keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Apa yang perlu anda lakukan hanya menekan butang ya untuk menyelamatkan Majlis Hak Asasi Manusia, banyak nyawa di seluruh dunia dan Ukraine,” kata Sergiy Kyslytsya.

Sekurang-kurangnya 1,611 orang awam terkorban di Ukraine manakala 2,227 telah cedera sejak Rusia memulakan “operasi ketenteraan khas” di negara jiran itu pada 24 Feb, menurut PBB pada Khamis.

“Kebanyakan mangsa terkorban akibat letupan, termasuk dari sistem roket pelancar berganda, serta serangan udara dan peluru berpandu,” menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia (OHCHR).

Angka sebenar jauh lebih tinggi, berikutan maklumat di beberapa lokasi pertempuran sengit ditangguhkan dan masih menunggu pengesahan.

Seramai 4.3 juta telah melarikan diri dari Ukraine, menurut agensi pelarian PBB.

Poland telah menerima lebih 2.5 juta rakyat Ukraine, manakala hampir 663,000 mendapat perlindungan di Romania, lebih daripada 404,000 ke Hungary, lebih 401,000 ke Moldova, dan sekitar 305,000 ke Slovakia. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.