Politik Malaysia stabil lepas PRU-15 – Richard Riot

Spread the love

SERIAN, 8 April : Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem yakin negara akan mencapai kestabilan politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Katanya, ini kerana selepas empat tahun PRU-14, politik negara kucar-kacir sehingga menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri yang menyebabkan rakyat berasa jemu.

“Saya percaya lepas PRU-15, kestabilan politik akan kembali, ini berdasarkan pengalaman saya selama lebih 30 tahun menjadi Ahli Parlimen,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di sini hari ini.

Sementara itu ketika ditanya sama ada Undang – Undang Anti Lompat Parti boleh menjadi penyelesaian kepada ketidakstabilan politik, Richard Riot yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur berkata, beliau bersetuju sekiranya ia dibentangkan.

“Malah saya yakin kesemua 18 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberikan sokongan.

“Bagaimanapun pengumuman rasmi mengenai pendirian kami (Ahli Parlimen GPS) akan dibuat oleh Pengerusi, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, usaha pembentangan rang undang – undang berkenaan tidak semudah yang disangka kerana terdapat Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.

“Oleh itu, mesyuarat pada Isnin ini sangat penting untuk membahaskan Perkara 10 berkenaan dan selepas itu baharu dibawa ke satu persidangan lagi yang tarikhnya ditentukan oleh Perdana Menteri,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.