MITI bertemu Abang Johari jelaskan CPTPP

Spread the love

KUCHING, 7 April : Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) telah mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Sarawak bagi memberikan penerangan berkaitan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali berkata, sesi libat urus berkenaan turut menjelaskan beberapa perkara termasuk Kajian Analisis Kos Faedah (CBA) yang sedang dilaksanakan oleh kementerian itu dan telah dimuktamadkan.

Ujar beliau, CBA akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

“Kita juga membincangkan mengenai manfaat yang telah dikenal pasti selain memberi maklum balas terkini kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkenaan dengan pelbagai perkara melibatkan kepentingan negeri-negeri yang telah dibangkitkan semasa perbincangan bersama pemegang taruh yang telah dilaksanakan oleh MITI sebelum ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat bertemu Abang Johari di Wisma Bapa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut beliau, perbincangan berkenaan juga menyentuh peranan kerajaan negeri, urusan berkaitan dengan tanah, kepentingan Bumiputera, isu buruh dan sebagainya.

Ujar beliau, Abang Johari telah mengambil maklum akan perkara tersebut dan kerajaan negeri akan meneliti teks yang bakal disampaikan oleh MITI kelak.

Selain Sarawak, MITI juga telah melaksanakan sesi libat urus serta memberi penerangan berkaitan CPTPP kepada beberapa negeri yang lain termasuk Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah.

CPTPP merupakan perjanjian yang merangkumi isu perdagangan semasa termasuk akses pasaran, perdagangan barangan dan perkhidmatan, harta intelek, telekomunikasi, alam sekitar dan dasar persaingan.

Perjanjian ini telah ditandangani pada 8 Mac 2018 oleh 11 buah negara anggota iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. -TVS

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.