Malaysia mampu capai pendapatan e-dagang lebih RM1 trilion tahun ini -MDEC

Spread the love

KUALA LUMPUR, 7 April : Malaysia sekali lagi dijangka mampu mencapai pendapatan e-dagang melepasi paras RM1 trilion tahun ini, selepas merekodkan pendapatan RM1.1 trilion pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Mahadhir Aziz berkata sasaran itu selaras dengan aspirasi negara yang menyasarkan saiz pasaran e-dagang bernilai RM1.65 trilion menjelang 2025.

“Berdasarkan data yang kami ada dan juga trend, kami yakin ia (pendapatan e-dagang) lebih daripada RM1 trilion (tahun ini). Kita boleh sandarkan sedikit data itu berdasarkan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang menyebabkan perniagaan (e-dagang) melonjak.

“Tetapi, momentum itu sudah ada dan sebab itu penting untuk kita bawa lebih banyak program baharu yang lebih meluas dan meliputi segala aspek seperti demografik dan lain-lain,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran ‘#JomCelikDigital Dengan Meta’ melalui aplikasi Zoom hari ini.

Pada 9 Feb lepas, Jabatan Perangkaan dalam kenyataan memaklumkan prestasi keseluruhan pendapatan e-dagang negara pada 2021 merekodkan RM1.1 trilion, meningkat 21.8 peratus berbanding pada 2020.

Mengenai #JomCelikDigital Dengan Meta, ia adalah inisiatif peningkatan kemahiran digital hasil kerjasama Meta Malaysia dan MDEC untuk membantu rakyat Malaysia serta perniagaan yang terkesan akibat pandemik COVID-19, sekali gus meningkatkan dan merangsang daya tahan ekonomi digital negara.

Pada majlis yang sama, Pengarah Negara Meta Malaysia Nicole Tan semasa ucapannya berkata inisiatif itu akan memperkenalkan empat program peningkatan kemahiran digital iaitu ‘Meta Boost’, ‘Pasar Whatsapp’, ‘Instagram Academy’, dan ‘Facebook Blueprint Higher Education Program’.

“Meta Boost menawarkan bengkel pendidikan percuma untuk memperkasakan lebih daripada 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara yang paling terjejas akibat pandemik, manakala Pasar Whatsapp bertujuan memperkenalkan golongan itu kepada pelbagai ciri aplikasi WhatsApp Business untuk mendigitalkan perniagaan.

“Instagram Academy pula memberi peralatan Instagram dan bahan pendidikan kepada usahawan dan PKS untuk berhubung dengan pelanggan dan komuniti yang menghasilkan penglibatan lebih tinggi seperti penghasilan video pendek atau ‘Reels’.

“Facebook Blueprint Higher Education Program bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran pemasaran digital dunia sebenar serta menyokong pendidik dalam pemupukan bakat yang mahir digital,” katanya.

#JomCelikDigital Dengan Meta akan dilaksanakan secara berfasa bermula 14 April ini dan peserta boleh melayari https://jomcelikdigitaldenganmeta.splashthat.com/ untuk maklumat lanjut. -TVS

Tags: MDEC

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.