Tentera gagalkan cubaan seludup kereta Proton Exora ke Indonesia

Spread the love

KUCHING, 5 April : Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup keluar sebuah kereta Proton Exora ke Kalimantan,Indonesia gagal apabila ditahan oleh sepasukan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melaksanakan Op Benteng malam tadi.

Menurut kenyataan Divisyen Pertama Infantri Malaysia, ketika operasi di kawasan Ladang Kelapa Sawit Rimbunan yang terletak 50 meter dari sempadan negara jiran, anggotanya terserempak dengan kereta berwarna putih itu yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan mendapati pemandu berusia 28 tahun itu gagal menunjukkan cukai jalan yang sah.

“Siasatan lanjut mendedahkan bahawa kenderaan itu hendak diseludup keluar untuk dijual di Indonesia.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM45,000. Seterusnya, lelaki dan kenderaan tersebut telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut,”jelas kenyataan itu.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, anggota TDM yang sedang membuat rondaan di kawasan sama yang terletak kira -kira 300 meter dari sempadan Malaysia dengan Indonesia telah terserempak dengan tiga individu mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki berusia sekitar 38 hingga 41 tahun itu merupakan pendatang asing tanpa Izin (PATI) dari Indonesia yang cuba masuk ke negara ini melalui jalan tikus dan mereka telah ditahan,”jelas 1 Divisyen.

Tiga PATI dari Indonesia yang ditahan dalam Op Benteng.

Kesemua mereka telah diusir dan diserahkan kepada Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Pos Kumba Semunying. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.