Dua PATI Indonesia cuba seludup masuk lapan senapang angin diberkas

Spread the love

LUBOK ANTU, 5 April : Cubaan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia untuk menyeludup lapan laras senapang angin masuk ke negara ini di sempadan Malaysia – Indonesia, pada Ahad lepas berjaya dipatahkan oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan Victor Ripon berkata, dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan pada pukul 2.15 petang.

Katanya, sejurus ditahan, anggota polis mengesan kedua – dua suspek membawa sebuah kotak yang berisi komponen senapang angin.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menahan mereka turut mendapati kedua – dua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Beliau memberitahu, suspek yang berasal dari Badau Tengah dan Hulu Badau, Kalimantan itu mengakui kesemua komponen senapang angin itu ‘ditempah’ oleh pembeli di Sarawak.

“Barang kes akan dihantar ke Cawangan Persenjataan Polis di Batu Kawa untuk dianalisa,” katanya.

Berdasarkan anggaran, Victor memberitahu, nilai keseluruhan senjata yang dirampas dianggarkan mencecah RM16,000 iaitu RM2,000 untuk selaras senapang angin.

“Kedua -dua suspek akan direman selama 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.