KPDNHEP sita lebih 20,000 barangan tiruan untuk jualan Hari Raya

Spread the love

KUALA LUMPUR, 4 April : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita sebanyak 22,207 unit pakaian dan kasut berjenama tiruan yang dianggarkan bernilai RM850,000 dalam operasi pada 29 Mac lepas. 

Pengarahnya Ariffin Samsudin berkata serbuan ke atas tiga premis pemborong dan sebuah gudang itu dijalankan selepas menerima aduan daripada wakil pemilik cap dagangan terbabit.

“Serbuan ke atas tiga premis di kompleks pemborong di Jalan Kenanga dan gudang di Taman Kencana dijalankan selepas risikan selama seminggu,” katanya pada sidang media Op Barangan Tiruan di Stor Eksibit KPDNHEP WPKL di Segambut hari ini.   

Beliau berkata hasil maklumat mendapati barangan terbabit adalah untuk jualan sempena Aidilfitri tahun ini dan kasut yang diperoleh daripada pembakal pada harga RM30 hingga RM80 sepasang itu dijual di pasaran pada harga RM100 hingga RM250 sepasang.

Katanya kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM15,000 untuk setiap barangan bagi kesalahan pertama serta RM30,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Kes itu turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ariffin menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam urus niaga barangan tiruan bagi menghormati hak intelek pengeluar dan hukuman berat boleh dikenakan kepada individu atau syarikat yang melanggar undang-undang ditetapkan.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.