Press Metal terbit 163.4 juta saham baharu untuk tingkat pengeluaran, biaya keperluan modal

Spread the love

KUCHING, 2 April : Press Metal Aluminium Holdings dilaporkan sedang berusaha meraih dana berjumlah RM970.6 juta bagi meningkatkan pengeluaran syarikat berkenaan di tengah kekurangan bekalan aluminium yang semakin buruk susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Memetik laporan Forbes, syarikat itu pada Selasa lepas mengumumkan penerbitan 163.4 juta saham baharu pada harga RM5.94 setiap satu.

Tambah Press Metal, hasil daripada penerbitan saham baharu itu akan digunakan untuk meningkatkan operasi pengeluaran aluminium. Ini dijangka akan meningkatkan lagi keupayaan pengeluaran Press Metal.

Syarikat berkenaan juga bercadang untuk menyelesaikan hutang dan membiayai keperluan modal akibat lonjakan harga bahan mentah yang disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan susulan pandemik COVID -19 dan ketegangan di antara Rusia dan Ukraine. 

Tahun lepas, syarikat itu melengkapkan pembinaan fasa ketiga kemudahan peleburannya di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, Sarawak sekaligus meningkatkan kapasiti peleburan tahunan syarikat kepada lebih daripada satu juta tan metrik. Ini akan meletakkan syarikat berkenaan di kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan aluminium yang meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koon Poh Keong pada bulan lepas menjangka permintaan untuk aluminium karbon rendah dijangka meningkat dalam industri seperti automotif dan tenaga solar.

Susulan permintaan yang melonjak untuk aluminium pada 2021, keuntungan bersih Press Metal meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1 bilion pada 2021, dengan pendapatan meningkat sebanyak 47 peratus kepada RM11 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Harga aluminium melonjak hampir 40 peratus pada tahun lepas dan dijangka kekal tinggi tahun ini disebabkan kekangan bekalan di Eropah dan China. Pada semakan terakhir di London Metal Exchange, harga aluminium untuk kontrak 3 bulan berada pada USD3450 satu tan, pada 1 April.

Tahun lepas, untuk kontrak dan tarikh yang sama, ia didagangkan pada harga sekitar USD2236 satu tan. 

Harga saham Press Metal ditutup rendah pada Jumaat kepada RM6.13 sesaham berbanding RM6.30 sesaham pada pembukaan Isnin.

Koon Poh Keong dan empat orang adik-beradiknya mengasaskan Press Metal pada 1986 sebagai syarikat penerobosan aluminium dan sejak itu menjadi pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

Press Metal bersaing dengan gergasi global seperti Rusal di Rusia dan Aluminum Corp di China. 

Dengan nilai kekayaan bersih sebanyak US$6.4 bilion, adik-beradik itu menduduki tempat ke-3 dalam senarai 50 Individu Terkaya Malaysia pada tahun lepas.-TVS.


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.