Belia Sarawak ‘jangan malu’ mohon RM7 juta dana khusus yang masih berbaki – Abdul Karim

Spread the love

KUCHING, 2 April : Golongan belia di Sarawak diminta untuk tampil ke pejabat Kementerian Belia,Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri untuk memohon dana khusus yang masih berbaki RM7 juta untuk kumpulan berkenaan.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dana berkenaan sudah diwujudkan oleh Kerajaan Sarawak sejak dua tahun lepas dan setakat ini lebih RM1 juta sudah diagihkan kepada penerima.

Katanya, dana berkenaan juga tidak perlu dibayar semula dan setakat ini ada yang menerima peruntukan antara RM10 000 hingga RM50 000.

“Nasihat saya kepada belia, jangan malu untuk datang ke kementerian, minta maklumat dan ambil tahu proses permohonan.

“Bagaimanapun, selepas pemberian diluluskan, sudah tentu kita (kerajaan) akan pantau untuk melihat perkembangan projek mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Persediaan dan Pembiayaan Usahawan Belia di Dewan Suarah Kuching, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kumpulan beliau yang boleh memanfaatkan dana berkenaan, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan,Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri berkata, dana itu diwujudkan untuk membantu melonjakkan bakat yang dimiliki oleh belia di negeri ini.

“Dana ini untuk belia yang mempunyai minat dan kemahiran yang lain seperti bidang kesenian, inovasi , kebudayaan dan sebagainya. Penghujungnya kita tahu mereka (belia yang berbakat) ini akan menjurus ke arah keusahawanan,”katanya.

Bagi meningkatkan kesedaran belia terhadap kewujudan dana berkenaan, Abdul Karim berkata, pihaknya akan memperhebatkan program jelajah di seluruh Sarawak. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.