Muhyiddin jumpa saya minta sokongan jadi PM – Dr. Mahathir

Spread the love

Kredit foto : Pejabat Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR , 1 April : Pengerusi Parti Tanah Air (Pejuang) ,Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa,Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemunya untuk meminta sokongan bagi menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Ujar Dr. Mahathir, beliau ‘hilang’ kata – kata selepas mendengar hasrat yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu dalam pertemuan mereka baru – baru ini.

” Dia (Muhyiddin) jemput orang yang dia tikam belakang tetapi tidak mati lagi untuk meminta tolong,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Yayasan Anti Rasuah Malaysia di sini hari ini.

Baru – baru ini, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertemu Dr. Mahathir untuk membentuk kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan datang.

Mengulas mengenai sebab Muhyiddin masih ‘berminat’ untuk bekerjasama dengan Pejuang, Dr Mahathir berkata, beliau juga tidak pasti kerana partinya mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru – baru ini.

” Kami tidak kuat, tidak ada wang, jadi mengapa minta sokongan Pejuang,”katanya.

Berhubung prestasi bekas ‘anak didiknya’ itu sepanjang 15 bulan menjadi Perdana Menteri ketujuh, Dr. Mahathir berpendapat, Muhyiddin bukan seorang Perdana Menteri yang baik.

“Oleh itu, tidak ada sebab untuk orang pilih (Muhyiddin) semula.

“Kalau beliau capai sesuatu yang hebat untuk Malaysia sepanjang tempoh jadi Perdana Menteri, saya yakin Muhyiddin tidak perlu dapatkan pertolongan saya untuk dipilih semula,”katanya.

Mengenai kerjasama Pejuang dengan parti lain menjelang PRU-15, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, mereka bersedia membentuk pasukan dengan pihak yang menolak rasuah dan tidak menawarkan wang ketika berkempen kepada pengundi. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.