Pulau Pinang bincang penerbangan terus dari Asia Barat

Spread the love

GEORGE TOWN, 31 Mac : Kerajaan Pulau Pinang sedang berbincang dengan beberapa syarikat penerbangan dari Asia Barat untuk memperbanyakkan penerbangan terus ke negeri itu selepas pembukaan sempadan negara bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri , Yeoh Soon Hin berkata, ini kerana pelancong dari negara tersebut menunjukkan minat yang tinggi untuk datang melancong dan bercuti ke Pulau Pinang.

“Menerusi maklum balas yang kami terima daripada pelancong Timur Tengah (Asia Barat), mereka sangat berminat untuk kembali bercuti di Pulau Pinang dan ini satu berita baik kepada pemain industri di sini.

“Sebenarnya ia adalah hasil dan promosi berterusan yang kami jalankan mengenai pelancongan di Pulau Pinang sepanjang dua tahun lepas dan kita dapat kekalkan minat pelancong untuk ke negeri ini,” katanya selepas merasmikan program kesedaran jenayah dan keselamatan untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  pelancongan di Pulau Pinang, di sini hari ini.

Majlis anjuran Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) turut dihadiri  Pengerusinya Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.

Yeoh berkata , kemasukan pelancong asing selepas pembukaan sempadan negara dijangka secara berperingkat kerana bergantung kepada kebenaran serta pembukaan sempadan negara masing-masing.

Sementara itu, beliau berkata , kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan persetujuan daripada beberapa syarikat penerbangan untuk perkhidmatan penerbangan terus bagi merancakkan industri pelancongan di Pulau Pinang.

“Kita sedang mendapatkan penerbangan terus dari Thailand, Vietnam, Indonesia ke Pulau Pinang, berita baik mengenainya akan kami umumkan dalam tempoh terdekat selepas mendapat pengesahan mengenai penerbangan terus antarabangsa berkenaan,” katanya.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.