Penyanyi dan komposer, Yasin didakwa tanam 17 pokok ganja, edar dadah

Spread the love

PETALING JAYA, 31 Mac : Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas dua pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan mengedar 214 gram dadah di sebuah kondominium di Kota Damansara.

Muhammad Yasin, 47, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T berwarna hitam mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan menanam pokok itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengedar dadah, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah kerana ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Di Mahkamah Sesyen, pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis boleh diperoleh sama ada secara terus atau secara tidak langsung di kediamannya di Kondominium Casa Indah, Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohammad Al-Saifi Hashim dan TPR Asnawi Abu Hanipah manakala Muhammad Yasin diwakili peguam Yusmaidi Yusoff. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.