BESarawak, MYCEB lancar pakej insentif untuk industri perancangan acara perniagaan

Spread the love

KUALA LUMPUR, 31 Mac : Ketika Malaysia bersedia untuk membuka sempadannya pada 1 April, Business Events Sarawak (BESarawak) dan Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) menyediakan insentif kewangan dan barangan kepada perancang perniagaan melalui pakej BEimpactful yang baru dilancarkan.

BEimpactful, yang bertujuan untuk mengurangkan kesan COVID-19 terhadap perancangan acara perniagaan, adalah terpakai untuk konvensyen, pameran dan mesyuarat korporat fizikal, hibrid dan tempatan serta antarabangsa. 

Bagi insentif korporat nasional dan antarabangsa, acara itu mesti diadakan secara fizikal sahaja, kata BESarawak dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap pada BESarawak Tribal Gathering yang diadakan di sini hari ini, berkata negeri itu memutuskan untuk meneruskan Pakej Insentif Perancangan Acara Perniagaan untuk tahun ini seiring dengan  kebarangkalian yang tinggi acara perniagaan antarabangsa akan kembali diadakan di tengah-tengah pembukaan semula sempadan antarabangsa.

“BESarawak dan MyCEB kini bekerja dengan lebih erat berbanding sebelum ini pada tahap kerjasama yang lebih tinggi untuk memacu transformasi ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia melalui acara perniagaan,” kata Abdul Karim, yang juga Menteri Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri.

Di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030, yang dilancarkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 2021, sektor acara perniagaan dikenal pasti sebagai aspirasi untuk memperkasakan masyarakat dan memelihara warisan, kebudayaan dan biodiversiti serta menggalakkan pelaburan serta pembangunan dalam semua sektor.

Sejak penubuhan BESarawak pada 2006, rekod data menunjukkan bahawa Sarawak menjana kira-kira RM3 bilion jumlah impak ekonomi di bawah acara yang dijalankannya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.