69 warga PGA Sibu derma darah

Spread the love

SIBU, 29 Mac : Seramai 69 orang warga Batalion 10, Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu tampil menderma darah bagi menambah bekalan darah di Bank Darah, Hospital Sibu.

Kempen yang diadakan di Batalion 10, Kem PGA Lanang Sibu dianjurkan sempena Sambutan Hari Polis Ke-215 pada Selasa lepas.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Mohammad Hafiz Kadir berkata, kempen dijalankan dengan kerjasama Bank Darah Hospital Sibu yang diketuai oleh Dr. Chang Shi Ya serta 15 orang kakitangan.

“Seramai 111 orang anggota telah berdaftar namun hanya 69 anggota berjaya menderma manakala 42 lagi anggota tidak berjaya menderma atas faktor-faktor pengambilan ubat-ubatan, masalah kesihatan dan sebagainya,” ujarnya.

Mohammad Hafiz berkata, menderma darah merupakan satu usaha untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan.

“Seperti yang kita sedia maklum, darah digunakan untuk menyelamatkan nyawa pesakit yang menerima rawatan di hospital dan kami akan meneruskan program ini sebagai satu aktiviti kemasyarakat dalam program kami akan datang,” ujarnya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.