Sarawak dan MYDIN lancar Kad Kenyalang Emas bantu golongan sasar

Spread the love

KUCHING, 29 Mac : Kerajaan Sarawak menjalinkan kerjasama strategik dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad untuk membantu golongan warga emas dengan melancarkan inisiatif Kad Kenyalang Emas (KGC).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Masyarakat (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kerjasama itu diharapkan dapat menjana ekonomi, menjaga kebajikan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Salah satu daripada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah program iSarawakCare adalah menyediakan bantuan sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah meninggal dunia.

“Pelancaran KGC hari ini merupakan satu lagi usaha kerajaan negeri untuk membantu golongan memerlukan di Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran KGC dan seterusnya merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Mydin Prihatin Syawal 2022 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.

Kerjasama ini bakal memanfaatkan 250 000 pemegang KGC dengan pelbagai tawaran harga istimewa sepanjang bulan.

Sementara itu, Fatimah memberitahu, pada 2030 dianggarkan sebanyak 16 peratus populasi Sarawak akan terdiri daripada warga emas.

“Ini bersamaan dengan kira-kira 526,000 orang.

Di pihak kerajaan negeri, kita menyediakan pelbagai inisiatif termasuk bekerjasama dengan syarikat swasta untuk manfaat golongan ini,”katanya.

Sementara itu, Ameer Ali berkata, rangkaian pasar raya berkenaan telah melaksanakan projek CSR MYDIN Prihatin sejak empat tahun lepas bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Tahun ini, MYDIN sekali lagi bekerjasama dengan 51 pembekal strategik bagi mengumpul dana dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bagi kempen MYDIN Prihatin Syawal 2022,” katanya.

Tambahnya, antara barangan promosi yang terpilih bagi April adalah kit ujian kendiri COVID- 19, gula, tepung gandum dan kurma. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.