Lauk pauk ‘terbang’ kedai makan dirempuh kereta dipandu warga emas

Spread the love

KAJANG, 29 Mac : Seorang wanita warga emas yang mengalami pitam ketika ingin memberhentikan keretanya telah merempuh sebuah kedai makan di Batu 13, Hulu Langat, di sini tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, ketika kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, wanita berusia 63 tahun itu sampai di kawasan parkir di hadapan kedai dan secara tiba – tiba berdepan masalah kesihatan.

Katanya, wanita itu yang ingin membrek telah tersilap menekan pedal minyak.

“Akibatnya, kereta jenis Toyota Vios yang dikendalikannya telah melanggar sebuah motosikal dan seterusnya merempuh masuk ke dalam kedai serta menghentam rak makanan,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mohd. Zaid berkata, akibat pelanggaran itu, seorang pelanggan wanita yang sedang mengambil makanan telah mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

“Pelanggan lain yang berada dalam kedai itu tidak mengalami kecederaan manakala peralatan perniagaan premis itu rosak,”katanya.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.