Dua peniaga rugi lebih RM68,000 terpedaya pembelian dalam talian

Spread the love

SIBU, 29 Mac : Dua ahli perniagaan di sini kerugian RM68,602 selepas menjadi mangsa penipuan jualan dalam talian yang tidak wujud.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Dr Collin Babat berkata, kes pertama melibatkan seorang peniaga kedai serbaneka berusia 49 tahun yang tertarik dengan tawaran menjadi agen jualan sambilan melalui Facebook.

Katanya, mangsa kemudian memberikan nombor telefonnya di laman sosial itu pada 2 Mac lalu.

“Mangsa telah dihubungi oleh wakil jualan syarikat itu yang meminta supaya memuat naik satu aplikasi yang mengiklankan pelbagai barangan yang didakwa dijual di sebuah sebuah pusat beli-belah terkemuka di Paris.

“Peniaga itu dijanjikan komisyen sebanyak 10 peratus apabila membeli barangan promosi yang dijual menerusi aplikasi berkenaan,”katanya.

Collin berkata, mangsa semakin mempercayai syarikat itu apabila menerima ‘bonus’ seperti dijanjikan selepas menjual pelitup muka dan makanan haiwan dan kemudian dia telah membeli barangan dalam kuantiti yang lebih banyak.

“Pengadu telah membuat sebanyak 16 transaksi wang ke satu akaun bank dengan nilai keseluruhannya sebanyak RM50,502 sejak 7 hingga 24 Mac lalu,”katanya.

Pengadu menyedari ditipu selepas tidak lagi menerima komisyen malah nombor telefonnya juga disekat dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Sungai Merah.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lagi peniaga berusia 41 tahun kerugian RM18,100 selepas mengesyaki akaun banknya digunakan tanpa pengetahuan.

Collin berkata, pengadu dimaklumkan anaknya telah menekan satu pautan yang diberikan oleh seorang pemilik akaun Telegram dikenali sebagai ‘Jayson’ untuk membeli satu unit alat pendengaran dengan harga RM33 pada 26 Mac lalu.

“Pengadu mendapati anaknya telah memasukkan maklumat akaun bank miliknya untuk proses pembayaran.

“Mangsa menyedari akaunnya digodam ketika ingin membuat transaksi dalam talian kerana kata laluannya tidak sah pada Isnin lepas,”katanya.

Pengadu yang membuat semakan lanjut mendapati tiga pemindahan wang telah dilakukan tanpa pengetahuannnya berjumlah RM18,100 ke akaun bank milik orang yang tidak dikenali pada 26 Mac lalu.

Collin berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.