Lapan gerai dan pejabat SEB terbakar di Sungai Asap

Spread the love

BELAGA, 27 Mac : Lapan gerai termasuk pejabat milik Sarawak Energy Berhad (SEB) musnah dalam kebakaran di Pasar Sungai Asap, dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga, Pegawai Bomba Kanan II, Helman Main berkata, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Uma Daro dengan kekuatan seramai 13 orang anggota terlebih dahulu menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.15 pagi tadi dan bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, BBP Belaga yang dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 5.29 pagi turut mengerahkan tujuh anggotanya ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 82 kilometer (km) dari balai.

“Setibanya di situ pada pukul 6.25 pagi, pasukan BBP Belaga mendapati kebakaran melibatkan sebuah blok bangunan jenis tidak kekal dua tingkat yang dijadikan sebagai premis gerai sedang terbakar,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Katanya, pasukan BBP Belaga memulakan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10 pagi tadi.

“Kebakaran memusnahkan sepenuhnya premis – premis yang terlibat,” katanya.

Beliau memberitahu, operasi tamat pada pukul 10 pagi manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.