Gadis Sabah berpakaian etnik Murut Nabai terima ijazah di United Kingdom

Spread the love

KOTA KINABALU, 27 Mac : Nur Liyana Razali, gadis berusia 26 tahun dari Papar menarik perhatian ramai apabila mengenakan pakaian etnik Murut Nabai dari Sabah ketika menerima Ijazah Sarjana Kejuruteraan dari University of Manchester di United Kingdom baru-baru ini.

Anak pertama daripada tiga beradik berketurunan Brunei-Murut itu menjadi bualan apabila gambarnya berpakaian tradisional itu berserta jubah dan ‘mortar-board’ ketika mengambil ijazah tersebut pada 20 Mac lepas, tular di media sosial terutama dalam kalangan warganet dari Sabah.

Nur Liyana berkata beliau mengenakan pakaian tradisi itu sebagai satu cara untuk mempamerkan tradisi dan kebudayaan masyarakat Sabah ke negara luar, seterusnya mahu ia sentiasa dihargai dan diingati terutama oleh generasi muda.

“Sudah tentu saya gembira dapat menerima segulung Ijazah Sarjana, namun kenangan itu lebih manis apabila saya dapat mempamerkan kebudayaan Sabah di Borneo suku Murut daripada keturunan sebelah ibu saya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Nur Liyana yang kini bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di syarikat Nestle Malaysia, Kuala Lumpur turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai terutama warga Sabah yang memberikan sokongan dan galakan kepadanya.

Bapanya Razali Matali, 51, berkata Nur Liyana sepatutnya menerima ijazah pada 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19 ia terpaksa ditangguhkan bagaimanapun beliau bersama isteri serta dua lagi anak bersyukur dapat menghadiri majlis tersebut yang dibuat tahun ini.

“Sebagai orang tua, saya  sangat gembira atas kejayaan Nur Liyana dan terima kasih kepada kerajaan negeri melalui Yayasan Sabah yang memberikan biasiswa kepada Nur Liyana,” katanya yang turut mengenakan pakaian tradisional baju Melayu cekak musang dan bersongkok ketika menghadiri majlis itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.