Edar dadah, suami isteri berdepan hukuman mati

Spread the love

BINTANGOR, 25 Mac : Sepasang suami isteri merupakan antara 11 individu diberkas dalam Op Sarang yang dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sekam Anoi berkata, operasi itu dilakukan di beberapa tempat di sekitar bandar ini berdasarkan maklumat orang awam.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemui tiga plastik yang masing -masing berisi 44 paket kecil, 22 keratan dan satu paket ketulan kristal yang disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Berat keseluruhan dadah yang dirampas ialah 339.40 gram dengan anggaran nilai RM36 500,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Polis Ke-215 peringkat IPD berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek berusia dalam lingkungan 26 hingga 45 tahun itu mendapati kesemua mereka positif dadah.

“Polis turut menyita dua buah kereta, wang tunai dan barangan kemas yang dianggarkan bernilai RM65 162,”katanya.

Sekam memberitahu, kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39 B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.