Datuk antara ditahan bantu siasatan kes rasuah projek RM85 juta

Spread the love

PUTRAJAYA, 24 Mac: Sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk dan seorang wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah berhubung projek bernilai RM85 juta membabitkan institusi automotif negara.

Menurut sumber SPRM, mereka yang berusia antara 34 dan 58 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam terdiri daripada empat pemilik syarikat, dan masing-masing seorang penasihat perubatan, akauntan, pengarah syarikat, ketua eksekutif serta ketua pegawai operasi.

Dua daripada individu terbabit disyaki telah meminta dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta daripada tiga individu yang ditahan sebagai balasan membantu syarikat mendapatkan geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 dan 2020, kata sumber itu.

Kesemua individu terbabit kini direman antara tiga dan enam hari bermula hari ini, setelah perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas mendengar permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) (A) Akta SPRM 2009. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.