Sarawak catat peratusan vaksinasi kanak-kanak tertinggi – Parlimen

Spread the love

KUALA LUMPUR, 23 Mac: Sarawak mencatat peratusan vaksinasi kanak-kanak tertinggi dengan hampir 70 peratus mereka yang berusia lima hingga 11 tahun sudah melengkapkan dos pertama menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan , Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, pencapaian itu diperoleh hasil daripada usaha kerajaan negeri yang bersungguh membuat lawatan ke sekolah dan pusat pemberian vaksin (PPV) untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak yang tidak mendaftar dalam aplikasi MySejahtera.

“Walaupun di Semenanjung kita guna kaedah janji temu, tempahan dan juga offsite, tapi keadaan di Sarawak adalah berlainan. Kalau lihat data dalam COVIDNOW, dan inilah yang terbaik.

“Malah saya telah buat lawatan ke Sarawak pada 9 dan 10 Februari lepas dan melihat sendiri mereka begitu rajin dan komited menjalankan kerja walaupun kebanyakan pelajar ini tidak ada dalam pendaftaran MySejahtera,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang ingin tahu sama ada pelaksanaan PICKids tanpa janji temu sudah diperluas ke semua PPV termasuk kawasan luar bandar dan pesisir Sarawak bagi memastikan anak-anak mendapat akses lebih mudah kepada vaksin.

Dr. Noor Azmi berkata, tahap kebimbangan ibu bapa terhadap kesan sampingan vaksin COVID-19 terhadap kanak-kanak di Sarawak yang amat kurang juga menyumbang kepada peratusan vaksinasi tertinggi bagi golongan itu.

“Kesangsian ibu bapa ini amat kurang di Sarawak, sebab itu kita lihat dalam peratusan ini (Sarawak) paling tinggi tidak ada negeri capai 50 peratus setakat ini tapi Sarawak telah hampiri 70 peratus.

“Malah Yang Berhormat Menteri (Kesihatan Khairy Jamaluddin) kata Sarawak ini jadi macam ‘Darul Vaksin’, macam negeri vaksin. Tahniah pada kerajaan Sarawak yang begitu komited,” katanya.

Menjawab soalan asal Ahmad Johnie yang ingin tahu jumlah kanak-kanak yang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin di Sarawak, beliau berkata sehingga 21 Mac lepas, seramai 104,000 atau 36.3 peratus daripada 286,000 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negeri itu telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

“Sehingga 22 Mac 2022, seramai 198,095 kanak-kanak (69.3 peratus) telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di Sarawak. Pemberian vaksinasi di Sarawak telah bermula pada 3 Februari yang dijalankan di sekolah, klinik kesihatan dan hospital termasuk fasiliti swasta,” katanya. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.