Road2Growth dedahkan usahawan Sarawak kepada teknologi IR 4.0

ByBernama

KUCHING, 23 Mac: Program Road2Growth anjuran Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) hari ini membuka peluang kepada syarikat Sarawak untuk memahami dan mengadaptasi teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Ketua Eksekutif MTDC , Datuk Norhalim Yunus berkata , melalui program sehari itu, sebanyak 10 syarikat teknologi tempatan telah dibawa untuk berkongsi produk serta solusi teknologi mereka kepada peserta program termasuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sarawak.

Katanya selain perkongsian mengenai produk teknologi, peserta turut didedahkan dengan program perkongsian mengenai cara untuk mengadaptasikan penggunaan teknologi dalam perniagaan mereka.

“Dalam usaha menggalakkan syarikat ke arah IR 4.0, kita faham terdapat banyak dalam kalangan PKS yang masih baharu dalam mengadaptasikan teknologi.

“(Oleh itu), program kita adalah untuk bawa syarikat teknologi ini untuk memperkenalkan produk mereka yang bukan sahaja mampu milik dari segi kewangan tapi juga dari segi operasi. Maknanya, teknologi itu mudah (untuk digunakan),” katanya kepada pemberita sempena Program Road2Growth di sini, hari ini.

Program Road2Growth bermula Mac sehingga September depan akan dijalankan di enam bandar raya di seluruh negara dengan memberi penekanan kepada industri 4.0 dan pendigitalan termasuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana meneroka pembangunan teknologi perniagaan melalui kerjasama dengan syarikat teknologi ahli ekosistem MTDC.

Pada program itu, peserta yang turut terdiri daripada siswazah, syarikat pemula, serta penyelidik berpeluang mendapat maklumat terperinci mengenai solusi teknologi daripada syarikat ekosistem MTDC yang berkecimpung di dalam bidang robotik, automasi, pencetakan 3D, realiti berperantara serta teknologi dron.

Sementara itu, Norhalim berkata Road2Growth turut memberi pendedahan kepada peserta terutamanya syarikat pemula yang ingin mengetahui mengenai proses untuk mendapatkan pelabur bagi memulakan syarikat mereka.

“Pada program ini juga kita akan kongsikan bagaimana untuk kumpulkan dana serta bentuk kriteria yang digunakan pelabur-pelabur sebelum mereka melabur dalam syarikat teknologi tertentu.

“Segmen ini bagus untuk usahawan pemula (startups) di Kuching yang ingin mencari pelabur atau buat pensyarah di universiti tertentu yang mempunyai idea teknologi yang memerlukan pendanaan,” katanya. – TVS

Berita Berkaitan