Malaysia dan Singapura mengorak langkah sambung semula perjalanan darat dan udara

Spread the love

PUTRAJAYA, 23 Mac: Malaysia dan Singapura mengorak langkah melakukan persiapan segera bagi menyambung semula kebenaran perjalanan darat dan udara sepenuhnya kepada rakyat kedua-dua negara yang telah lengkap divaksin berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang kembali stabil.

Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari Singapura Ong Ye Kung mengadakan perbincangan mengenai keadaan pandemik di kedua-dua negara di pejabatnya di sini hari ini.

“Kami bersetuju keadaan sudah stabil dan kami boleh mengorak langkah ke arah penyambungan semula perjalanan darat dan udara sepenuhnya untuk mereka yang telah lengkap divaksin,” kata beliau dalam hantaran di Twitternya mengenai perjumpaan itu. 

Malaysia dan Singapura berhubung semula dan #ReopeningSafely,” katanya dalam satu lagi hantaran.

Ong sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula hari ini.

Pada masa ini Malaysia melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara dengan Singapura, sebuah program pemudah cara perjalanan dua hala bagi individu yang mendapat dos lengkap suntikan vaksin COVID-19.

Di bawah VTL, individu yang lengkap divaksin dari sebuah negara boleh memasuki negara lain tanpa kuarantin bergantung kepada saringan COVID-19 dan keperluan selanjutnya ditentukan oleh negara penerima.  

Pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan membuka semula sempadan bermula 1 April ini bagi menggiatkan semula ekonomi negara, terutamanya industri pelancong yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.