Rabies In Borneo 2022: Platform kongsi ilmu tangani wabak rabies

Spread the love

KUCHING, 22 Mac: Persidangan ‘Rabies In Borneo’ (RIB) 2022, yang akan diadakan buat pertama kalinya pada 4 dan 5 April akan datang, adalah platform untuk berkongsi ilmu tentang cara menangani wabak rabies.

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, sejak penyakit rabies wujud di Sarawak pada tahun 2017, sebanyak 45 kes telah dilaporkan, dan daripada jumlah tersebut, hanya tiga yang selamat.

Melihat kepada jumlah kematian yang agak membimbangkan itu Dr Rundi berkata, kerajaan Sarawak perlu memikirkan alternatif bagi mewujudkan kesedaran mengenai penyakit rabies.

Antara langkah yang diambil adalah dengan melaksanakan vaksinasi rabies, langkah kawalan, serta mencari strategi dan penyelesaian yang berkesan untuk membasmi rabies di Sarawak.

Beliau menambah, Sarawak beruntung kerana wabak yang ada masih dapat dikawal berbanding di negara-negara lain, seperti Amerika Syarikat, Australia, dan Eropah Barat.

“Saya rasa rabies sememangnya satu ancaman kepada kita dari segi kesihatan, bukan sahaja rabies pada anjing, tetapi juga kita sebagai manusia. Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah yang kita hadapi.

“Ini bukan sahaja kita di Sarawak, seperti yang kita bimbang. Kita bekerja sama dengan jiran kita, Kalimantan, Sabah, dan juga Brunei. Itulah sebabnya kita bercakap tentang Borneo,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran ‘Rabies in Borneo 2022’ dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dan Place Borneo Sdn Bhd di sini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Dr Adrian Susin Ambud, berkata, Sarawak mensasarkan untuk bebas daripada penyakit rabies menjelang tahun 2025, dan RIB merupakan batu loncatan ke arah itu.

“Buat julung kalinya bulan depan, sasarannya adalah untuk memberi tumpuan kepada dua pendekatan pencegahan rabies: kaedah saintifik (perubatan dan veterinar) dan penyertaan masyarakat. Persidangan kami akan merangkumi topik penting seperti ‘Rabies di Borneo: The Way Forward’, Pemilikan Haiwan Kesayangan Bertanggungjawab, Kaedah Tangkapan Berperikemanusiaan, Tali Pinggang Kekebalan dan banyak lagi,” ujarnya.

Persidangan RIB akan berlangsung pada 4 dan 5 April 2022 di Kuching.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.rabiesinborneo.com atau menghubungi talian 082-555189. – TVS

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.