Alvin Wee, anak Sarawak menang anugerah di pentas Hollywood

Spread the love

KUCHING, 22 Mac: Masih tidak percaya.

Itulah yang diluahkan oleh Alvin Wee, penerbit dan pemuzik kelahiran Kuching, Sarawak yang memenangi kategori Pencapaian Cemerlang Adunan Bunyi dalam Anugerah Cinema Audio Society (CAS) 2022 di Hollywood kelmarin.

Mencipta sejarah sebagai rakyat Sarawak pertama memenangi trofi pada anugerah itu, Alvin, 34, berkongsi perasaan terujanya menerusi hantaran di Instagram.

“Ini sesuatu yang sangat bermakna kerana saya telah memberikan yang terbaik untuk menjadikan impian ini sebagai satu realiti,” tulis Alvin sebagai reaksi kepada lambakan ucapan tahniah di atas pencapaian cemerlang itu.

Alvin dan pasukannya dicalonkan menerusi hasil kerja dalam siri animasi Disney, Ecanto menewaskan tiga karya yang menjadi calon akhir lain termasuk Raya and The Last Dragon yang skripnya dihasilkan secara bersama oleh penulis Malaysia, Adele Lim.

Dua lagi yang tersenarai bagi kategori itu ialah Luca dan Sing 2.

Alvin, pemegang Ijazah Penulisan Kontemporari dan Produksi Muzik daripada Kolej Muzik Berklee, Boston , Amerika Syarikat sebelum ini turut bertindak sebagai pembantu penerbit album artis terkenal termasuklah Bruno Mars, Katy Perry dan Rihanna.

Pada tahun lepas, Alvin terlibat dengan penghasilan lagu Sarawak Gemilang sempena Hari Sarawak selain menyumbang kepakaran bagi penghasilan lagu Malaysia Prihatin ketika sambutan Hari Malaysia pada 2020.

Menerusi instagramnya juga, Alvin berkata, dia kini ‘rindukan’ kopi durian, yang merupakan minuman keluaran Malaysia yang popular di China. – TVS

 


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.